BERSEMUKA: Calon PAS Encik Mohd Azam Abd Samat (kiri) dan calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim.
YAN (Kedah): Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 Novemberi ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Di hari penamaan calon semalam, BN disahkan diwakili mantan pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Suhaimi Lazim, 52 tahun, yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jerai, manakala PAS diwakili Ketua Pemuda Jerai, Encik Mohd Azam Samat, 37 tahun, yang juga pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam Kedah.
Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak, yang juga mantan Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.
Tan Sri Azizan memegang kerusi itu selama lima penggal sejak 1995, lapor mStar Online.
Allahyarham mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas dengan memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya daripada BN, Encik Mohd Fazillah Mohd Ali, dengan majoriti 2,774 undi.
Encik Mohd Azam yang dipetik HarakahDaily berkata beliau bersedia memikul tanggungjawab diamanahkan parti dan akan meneruskan legasi yang ditinggalkan Allahyarham.
"Ini adalah tanggungjawab yang cukup berat bagi saya laksanakan terutama bagi mengekalkan kemenangan yang diperoleh PAS selama lima penggal," katanya.
DUN Sungai Limau mempunyai 27,287 pengundi dengan 40 peratus daripadanya adalah pengundi muda.
Sementara itu, lebih 1,000 jentera Pemuda Umno diingatkan ketua pergerakan itu, Encik Khairy Jamaluddin, supaya mengelakkan daripada menjalankan kempen agresif seperti serangan peribadi, memaki hamun dan bergaduh.
"Program yang dijalankan di luar bandar lebih santai, makan minum di kedai kopi, masuk surau dan masjid," katanya
SAMBUNG BACAAN...