Tuesday 30 July 2013

Pasar sesak diserang pengebom nekad

RAMAI CEDERA: Seorang pegawai perubatan memberi rawatan kecemasan kepada seorang mangsa letupan di sebuah hospital di Parachinar, kelmarin
49 maut dalam dua letupan bom di kawasan Syiah di Pakistan
PESHAWAR: Dua serangan bom menggegarkan pasar yang sedang sesak dengan pengunjung di barat daya Pakistan lewat kelmarin, dengan sekurang-kurangnya 49 terbunuh manakala 167 lagi cedera.
Ia adalah serangan berdarah terbesar di Pakistan sejak umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.
Letupan berlaku di bazar Parachinar, bandar utara di Daerah Kurram, yang bersempadan dengan Afghanistan ketika umat Islam sedang membeli juarah berbuka puasa.
"Banyak mayat tidak dapat dikenal pasti kerana mereka telah hancur sama sekali. Saya rasa bilangan korban jiwa dan mereka yang cedera mungkin akan meningkat," kata seorang pegawai perubatan di sebuah hospital setempat, Encik Salahuddin.
Menurut pegawai kanan pentadbiran daerah, Encik Riaz Mehsud, bom pertama dipercayai dipasang di sebuah motosikal.
Letupan kedua selang empat minit kemudian dipercayai dilakukan oleh seorang pengebom nekad yang berjalan memasuki pasar yang sedang sesak itu.
Encik Mehsud berkata pasar tersebut dibanjiri orang ramai dengan barangan berterbangan semasa letupan dan lebih 15 kedai dan dua kereta turut rosak.
"Kami menjumpai banyak cebisan daging dan darah manusia, termasuk bahagian tubuh pengebom nekad tersebut," katanya.
Seorang pengunjung di pasar itu, Encik Said Hussain, berkata beliau nampak seorang remaja lelaki melaungkan "Allahuakbar" beberapa minit sebelum letupan berlaku.
"Seramai 10 orang mati serta-merta di tapak letupan sementara ramai lagi yang cedera. Kami telah menghantar seramai mungkin mangsa ke hospital dengan menggunakan kereta kami," tambah beliau.
Sejauh ini, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian di kawasan yang rata-ratanya didiami masyarakat Syiah itu.
Namun, sejak kebelakangan ini, kumpulan pelampau Sunni dilaporkan telah meningkatkan serangan ganas ke atas golongan minoriti Syiah di negara itu.
Hospital utama di Parachinar dilaporkan tidak mampu menampung bilangan mangsa yang terlalu ramai.
"Kami tidak mempunyai tempat untuk merawat mereka yang cedera. Ramai di antara mereka kini terbaring di lantai hospital atau di kawasan lapang di luar hospital," kata seorang doktor, Encik Zahid Hussain.
Sekitar 25 daripada mangsa dilaporkan dalam keadaan tenat.
Serangan terbaru itu berlaku selang dua hari pengebom nekad menyerang kompleks bangunan pemerintah yang menempatkan agensi perisikan negara itu di bandar selatan Sukkur.

No comments:

Post a Comment

Dari Mana Depa Mai