Monday 6 May 2013

Menteri Besar Kelantan Baru



KOTA BARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pekan, Datuk Ahmad Yakob secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru di Istana Negeri Kubang Kerian dekat sini, kira-kira pukul 6 petang sekali gus menamatkan pimpinan Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di negeri itu selama 22 tahun.
Ahmad, 63, yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Besar mengangkat sumpah di hadapan Sultan Muhammad V Tengku Muhamad Faris Petra Sultan Ismail.
Nik Aziz, 82, memutuskan untuk bersara daripada memegang jawatan itu di mana kerajaan negeri di bawah kepimpinan PAS memerintah Kelantan sejak tahun 1990.
Bagaimanapun difahamkan, Nik Aziz terus kekal sebagai Mursyidul Am PAS.



Pemilihan Ahmad sebagai Menteri Besar Kelantan dibuat selepas PAS kekal memerintah Kelantan yang memperoleh majoriti mudah dengan 23 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Ahad.
Ahmad sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan pada Mac 2004.
Pada PRU-13, beliau yang mewakili PAS berjaya mempertahankan kerusi DUN Pasir Pekan yang disandangnya dengan majoriti 5,644 undi.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan.
Bagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dilantik juga mengambil giliran mengangkat sumpah setia perlantikan.
Ahli Mesyuarat Kerajaan terdiri daripada Datuk Anuar Tan Abdullah, Datuk Fatah Mahmud, Nasaruddin Daud Mejar (B) Datuk Ainizam Abdul Rahman, Datuk Che Abdullah Md Nawi, Datuk Dr Mohd Fadli Hassan, Hanifah Ahmad, Dr Ramli Mamat dan Mumtaz Md Nawi.

No comments:

Post a Comment

Dari Mana Depa Mai